Pelaksanaan Insentif Diskaun dan Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN 2023 - ShopperManiac Pelaksanaan Insentif Diskaun dan Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN 2023 - ShopperManiac

Panas!

Pelaksanaan Insentif Diskaun dan Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN 2023

Pelaksanaan Insentif Diskaun dan Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

Pelaksanaan Insentif Diskaun dan Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN 2023


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyambut baik insentif yang diberikan kepada peminjam PTPTN melalui pembentangan Belanjawan 2023 oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’.


Insentif yang diberikan kepada peminjam PTPTN ini menunjukkan komitmen Kerajaan dalam menyokong usaha PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan kebajikan para peminjam dan kelestarian dana pinjaman pendidikan untuk generasi akan datang.


Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan dua (2) inisiatif seperti berikut:


Pemberian diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga (3) bulan mulai 1 Mac 2023; dan

Pemberian penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam (6) bulan. Permohonan penangguhan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023.

 


PELAKSANAAN DISKAUN BAYARAN BALIK PINJAMAN PTPTN

Pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus berkuatkuasa mulai 1 Mac 2023 hingga 31 Mei 2023 meliputi empat (4) kategori seperti berikut:

Diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;

Diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang;

Diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) mengikut jadual bayaran balik; dan

Diskaun 5 peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

Semua peminjam PTPTN termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) adalah layak menikmati insentif ini.


Peminjam yang ingin membuat penyelesaian penuh pinjaman atau sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang perlu membuat pengesahan baki pinjaman melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN sebelum membuat bayaran balik melalui saluran bayaran yang telah disediakan.


Peminjam yang sedang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) adalah layak mendapat diskaun 15 peratus secara automatik. Manakala, peminjam yang ingin membuat potongan gaji atau Debit Terus (Direct Debit) pula boleh membuat permohonan melalui aplikasi myPTPTN atau portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. Peminjam boleh memilih salah satu atau kedua-dua saluran untuk menikmati insentif ini.


Selain itu, diskaun 5% juga diberikan bagi bayaran balik yang dibuat melalui aplikasi myPTPTN. Peminjam boleh memuat turun aplikasi myPTPTN melalui “App Store” bagi pengguna iOS, “Play Store” bagi pengguna Android dan “Huawei AppGallery” bagi pengguna Huawei. Peminjam PTPTN hanya perlu melalui proses aturan keselamatan yang mudah dan seterusnya dapat menggunakan aplikasi ini dengan cepat dan selamat. Peminjam juga boleh mengakses portal myPTPTN dengan melayari myptptn.ptptn.gov.my.


 

PELAKSANAAN PENANGGUHAN BAYARAN BALIK PINJAMAN PTPTN


Pelaksanaan penangguhan bayaran balik adalah seperti berikut:

Semua peminjam yang dalam tempoh membayar balik dan mempunyai pendapatan bulanan RM1,800.00 (gaji kasar) ke bawah layak memohon penangguhan kecuali peminjam yang telah menyertai Debt Management Programme (DMP) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pinjaman PTPTN


Permohonan penangguhan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023 melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.


Peminjam perlu melengkapkan maklumat perhubungan, maklumat pekerjaan, memuat naik dokumen pendapatan bulanan terkini dan membuat perakuan kebenaran ke atas maklumat yang diberikan.


PTPTN akan memaklumkan status kelulusan melalui e-mel yang dikemas kini semasa peminjam membuat permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan diterima.


Peminjam yang diluluskan penangguhan, akan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik berkuatkuasa. Kos pentadbiran atau ujrah juga tidak dikenakan sepanjang tempoh penangguhan diberikan.